Kamis, 17 Maret 2016

Keimanan yang dilupakan

            

             Sebut tentang solat, berbicara mengenai aqidah dan menerangkan mengenai akhlak-akhlak yang mulia dan tercela, semua tadi akan dikaitkan kepada keimanan.  Penjelasan perkara tersebut sudah biasa dan menjadi sesuatu yang dipandang.  Orang yang bersolat disebut sebagai punya iman yang baik begitulah seterusnya lain-lain ibadah dan sehingga kepada penampilan agama dikaitkan dengan keimanan.

            Tinggalkan berbicara apa betul atau benar iman itu sekadar solat atau punya penampilan agama sahaja.

            Kita terus sahaja menambahkan tanpa perlu membawa masalah yang lain. Keimanan yang selalu dilupakan adalah membantu golongan fakir miskin.

            Miskin atau kemiskinan dipandang sebagai sunnahtullah dalam kehidupan ini. Suatu keputusan yang tidak boleh diubah dan dihilangkan.  Apakah benar pandangan seperti ini?
Kerana ada yang sehingga menyebutkan bahawa miskin itu adalah ujian Allah SWT supaya penerimanya berusaha untuk meningkatkan iman.

            Kita mampu berkata kerana bukan kita yang merasai. Mungkin kita seorang yang hidupnya senang-lenang.  Menjadi seseorang yang mudah untuk memiliki sesuatu. Lalu apabila berkata tentang kemiskinan orang lain, kita semudahnya bercakap tentang ujian dan lebih teruk mempersoalkan pula usaha mereka yang ditimpa kemiskinan.

            Inilah keimanan yang telah dilupakan oleh kita hari ini. Ramai yang berbangga dengan tokoh-tokoh tertentu tetapi tidak berbangga-bangga dengan mereka yang sibuk dengan nasib orang-orang miskin. Ramai yang berbangga-bangga dengan keilmuan tetapi tidak berbangga dengan mereka yang memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan masalah kemiskinan.

            Memperjuangkan masalah kemiskinan adalah sebahagian dari keimanan yang besar. Jarang disedari kerana sering sombong dengan diri sendiri. Perjuangan menghapuskan kemiskinan adalah ibadah yang besar seiring dengan solat. Kalau solat dikaitkan hubungan dengan Allah swt, maka memperjuangkan kemiskinan adalah hubungan kemanusiaan yang ditinggikan nilainya sehingga menyamai dengan kepentingan solat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud dalam surah Al-Maau'n, 

1. tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama?
2. Itulah orang yang menghardik anak yatim,
3. dan tidak menganjurkan memberi Makan orang miskin.
4. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang shalat,
5. (yaitu) orang-orang yang lalai dari shalatnya,
6. orang-orang yang berbuat riya[1603],
7. dan enggan (menolong dengan) barang berguna[1604].

[1603] Riya ialah melakukan sesuatu amal perbuatan tidak untuk mencari keridhaan Allah akan tetapi untuk mencari pujian atau kemasyhuran di masyarakat.
[1604] Sebagian mufassirin mengartikan: enggan membayar zakat.

            Allah Swt menerangkan ciri mereka yang mendustakan agama adalah pertama, meraka yang tidak menjaga kepentingan anak yatim, kedua mereka yang tidak memberi makan kepada fakir miskin dan di ikuti terakhir adalah solat.

            Difahami secara jelas, Allah SWT telah mengutamakan tentang hubungan kemanusiaan lebih dari penyembahan kepadanya. Beerti juga keimanan dalam menjaga hak fakir miskin dan anak yatim itu lebih besar.

            Ayat ini juga sebagai penolakan terhadap pandangan yang datang dari agamawan mahupun awam yang sering mencela dan melupakan orang miskin tanpa memberi bantuan serta mempersoalkan usaha mereka.

Menolak Hujah

و حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْأَعْلَى بْنُ عَبْدِ الْأَعْلَى عَنْ مَعْمَرٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مُسْلِمٍ أَخِي الزُّهْرِيِّ عَنْ حَمْزَةَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَزَالُ الْمَسْأَلَةُ بِأَحَدِكُمْ حَتَّى يَلْقَى اللَّهَ وَلَيْسَ فِي وَجْهِهِ مُزْعَةُ لَحْمٍ و حَدَّثَنِي عَمْرٌو النَّاقِدُ حَدَّثَنِي إِسْمَعِيلُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ أَخْبَرَنَا مَعْمَرٌ عَنْ أَخِي الزُّهْرِيِّ بِهَذَا الْإِسْنَادِ مِثْلَهُ وَلَمْ يَذْكُرْ مُزْعَةُ
Tidaklah salah seorang dari kalian yg terus meminta-minta, kecuali kelak di hari kiamat ia akan menemui Allah sementara di wajahnya tak ada sepotong daging pun. Dan telah menceritakan kepadaku Amru An Naqid telah menceritakan kepadaku Isma'il bin Ibrahim telah mengabarkan kepada kami Ma'mar dari saudaranya Az Zuhri dgn isnad ini, namun ia tak menyebutkan muz'ah (sepotong). [HR. Muslim No.1724].

Perlu diberi perhatian. Hadis hendaklah diletakan pada tempat yang betul. Bukan semudahnya mengambil hadis dan mengelurkan hukum larangan untuk memberi bantuan kepada fakir miskin. Ada banyak hadis lain yang menyebut-nyebut kelebihan memberi kepada fakir miskin bersama cerita yang sahih tentang kelebihan memberi. Ini memerlukan kebijaksanaan dan pemahaman yang jujur.

Jangan kerana kita tidak mahu memberi, kita menjual hadis ini. Apalah bezanya pula orang yang mengatakan tidak mahu solat dengan alasan kalau solat tidak khusuyuk masuk neraka dan memberi dalilnya. Sedangkan ada dalil lain yang memerintahkan solat walau bagaimana pun keadaan da nada perbicangan dalam kalangan ulama mengenainya.

            Yang betulnya adalah hadis ini seharusnya dipegang sebagai amalan diri sendiri yang membawa kepada maksud berusaha dan melakukan yang terbaik. Sekiranya berhadapan dengan fakir miskin , hadis yang perlu kita ambil adalah hadis memberi itu lebih baik. Sangkaan yang buruk tidak boleh dijadikan sebab larangan meminta-minta. Lihatlah dan fahami hadis melalui sirah Nabi Muhammad SAW juga.

            Apakah selepas Baginda melarang meminta-minta beerti melarang juga memberi kerana alasannya haram ataupun akan menggalakan kemalasan dalam masyarakat. Apa yang ditunjukkan oleh Baginda adalah hidupnya penuh dengan memberi dan membantu mereka yang memerlukan. Sepertimana yang disebut tadi, hadis seperti itu hanya sebagai peringatan supaya kita yang diri sendiri yang mampu supaya berusaha terlebih dahulu.

Hadis yang sepatutnya diambil apabila kita berhadapan dan berbicara tentang kemiskinan atau memerlukan adalah kelebihan memberi dan keutamaannya.

Sebagai contoh,

مَامِنْ يَوْمٍ يَصْبَحُ الْعُبَّاد فِيهِ اِلاَّ وَمَلَكَانِ يِنْزِلاَنِ فَيَقُولُ اَحَدُهُمَا : اَللَّهُمَّ اعْطِ مَنْفقًا خَلفًا. وَيَقُولُ اْلاَخَرُ : اَللهُمَ اعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا. رواه مسلم
"Pada tiap-tiap pagi turun dua malaikat, lalu yang seorang berseru: Ya Allah, berilah pengganti kepada orang membelanjakan! (berinfak atau bersedekah) dan yang kedua berseru: Ya Allah, turunkanlah kebinasaan kepada yang kikir!" (Hadis Riwayat Muslim)

كَفَى بِاْلْمَرْءِ آثِمًا اَنْ يَضِيْعَ مَنْ يَقُوْت. رواه مسلم وأبو داود

"Cukuplah dosa (kebinasaan) bagi seseorang manusia itu hanya dengan kerana membiarkan (menyia-nyiakan) keperluan seseorang yang sangat memerlukan". (Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud)

Manakala dalam Al-Quran Allah SWT berfirman.


75. dan di antara mereka ada Yang membuat janji Dengan Allah Dengan berkata: "Sesungguhnya jika Allah memberi kepada Kami dari limpah kurniaNya, tentulah Kami akan bersedekah, dan tentulah Kami akan menjadi dari orang-orang Yang soleh"
(Surah At-Taubah : 75)

Menyanjungi  mereka yang menyantuni kemiskinan

            Saya secara peribadi kalau ditanya  dizaman ini, siapakah yang lebih mengingatkan saya kepada Nabi Muhammad SAW  dan agama Islam yang indah?
Saya akan menjawab, orang yang turun membantu orang miskin dan berusaha memberi masa, rasa dan jasa kepada mereka.

            Lalu bagaimana dengan Ulama, agamawan, pendakwah?
Saya jawab, ya, apabila mereka membantu orang msikin dan turut berusaha memberi masa, rasa dan jasa.

            Hari Ini, mereka yang sibuk memberikan masa, rasa serta jasa tidak mendapat tempat yang sebegitu besar. Ya, mereka sendiri  tidak mengharapkannya. Sekurangnya paling tidak kita menghargai dan memberi sokongan.

            Akan tetapi sebaliknya pula yang berlaku, mereka kadang-kadang dipersalahkan. Dituduh sebagai cuba menunjuk-nunjuk atau sekadar membuang masa semata-mata. Hairan sekali dengan sikap seperti ini. Tidak tahu apa yang telah hilang dihati mereka dan apa yang mereka fikirkan. Apakah mereka mendapat keuntungan dari kemiskinan yang berlaku atau berasa terganggu dengan mereka yang membela kemiskinan.

            Perjuangan membela kemiskinan adalah tugas yang tersangat mulia. Kemuliaan ini hanya dibebankan kepada orang-orang yang mulia. Dari Para Anbiya seterusnya kepada orang-orang soleh semua berasakan kepentingan dan bertanggungjawab atas persoalan kemiskinan ini. Maka siapa saja yang menyantuni kemiskinan atau membela kemsikinan harus dihargai dan diberi sokongan.
            
       Mereka inilah yang memahami lagi cakna kepada realiti yang berlaku dalam kalangan masyrakat mahupun negara. Kita lihat banyak Pemikir, tokoh dan agamawan yang tampil ke hadapan untuk menyelesaikan masalah kemiskinan. Walaupun mereka tahu kemiskinan bukan sekadar menyantuni atau membela tetapi banyak isu yang harus mereka tempuhi. Tekanan politik, masa dan pengorbanan lain yang tidak terhitung.

            Bagi hati yang penuh cinta dan ikhlas, mereka memahami makna ini sebagai satu keimanan juga.

             Akhir kata, saya penulis memetik kata dari seorang agamawan atau Ulama yang hidupnya penuh kesetiaan kepada agama dengan maksud yang sebenar,

Syeikh Mutawalli Sya’rawi Rahimahullah,

“Jika kamu lihat banyak orang miskin di negara Islam, ketahuilah disana ada orang kaya yang sedang merompak harta mereka.”

Tidak ada komentar:

Posting Komentar