Jumat, 22 Januari 2016

Diantara Hati dan Kenyataan

                                                                       

https://www.google.co.id/url?sa=i&rct=j&q=&esrc=s&source=images&cd=&cad=rja&uact=8&ved=0ahUKEwjL-9Hfmr_KAhULCI4KHSfdAAQQjRwIBw&url=https%3A%2F%2Fpenajariku.wordpress.com%2Fcategory%2Fpoem%2F&psig=AFQjCNEAisJlZKF7P_1OkpERkhcXSu4kTg&ust=1453613582392146
                                                                    
Aku teringat kenalan aku yang bernama Nazrin, walaupun aku sudah membaca banyak kisah cinta yang ada tetapi bagi aku kisahnya lebih melekat dalam ingatan. Aku menjadi sebahagian dari ceritanya, mendengar dan memahami. Bagaimana apabila cinta itu dipisah-pisahkan oleh penilaian peribadi dan kejujuran yang nyata. Mempersoalkan keimanan dan keagamaan atas setiap luahan perasan yang lahir.

Cinta akan menuruti zaman sehingga ke penghujungnya kerana mulanya juga kerana cinta. Menulis tentang cinta seperti menulis pengalaman semua hidup manusia. Tidak ada manusia yang terlepas dari cinta.  Walaupun berbeza tentang bagaimana dan kenapa sekalipun, itu tidak pernah memisahkan atau membezakan kita apabila menceritakan tentang cinta atau pengalamannya.

Dari sudut keagamaan, cinta akan menghubungkan kepada tuhan dan agama. Manakala dari kebiasaan cerita cinta yang biasa, cinta yang ditawarkan adalah lebih kepada perasaan dan perjalanan percintaan tersebut. Namun, cerita cinta ini tidak bermaksud gagal atau tidak sehebat sudut keagamaan yang menyebut jelas unsur-unsur agama dan tuhan.

Kedua-duanya ada cara sendiri untuk membawa maksud keindahan yang ada disebalik kisah-kisah cinta yang ditulis. Mengenai siapa membaca dan apa yang dikehendaki itu penilaian peribadi dan manusia tidak semuanya sempurna. Berbanding menawarkan kisah unsur keagamaan tetapi penuh dengan kepuraan-puraan, lebih baik membiarkan kisahnya hidup dengan kenyataan yang membawa pengajaran dan penghidupan tersendiri.

Kisah cinta ini lebih memerlukan kejujuran untuk sampai kepada akhirnya. Melafazkan cinta pada diri yang tidak jelas adalah sia-sia walaupun dihubungkan kepada tuhan. Pilihlah siapa ingin dicintai agar punya cinta yang sempurna atau akan berulang kisah cinta yang sekadar memuja tapi tidak pernah memiliki.  

***
            Nazrin mencintai seorang wanita bernama Farah.  Nazrin terikut-ikut cinta yang menghubungkan kepada agama dan tuhan. Memang suatu yang biasa dizaman ini bercinta dengan dendangan agama. Nazrin sering bertemu dengan Farah sebagai pasangan yang sedang membina mimpi dan ingin menggapainya. Nazrin yang lebih banyak bermimpi dan berusaha untuknya.
         
   Setiap hari dia berfikir tentang Farah. Berangan-rangan sehingga aku memecahkan angan-anganya dengan kejutan. Termenung seperti ada suatu yang menjadi beban. Hatinya tidak dapat diagak. Kadang senyumnya manis seperti melalui taman-taman bunga. Kadang membisu seolah-olah tidak ada yang bermain di fikirannya. Kesungguhan cinta dan melafazkannya memaksa Nazrin untuk membenarkan lafaz yang sudah terucap.

            Nazrin pernah berkata kepada aku, “Aku yang melafazkannya, maka aku harus menyempurnakannya.”

            Aku kagum dengan semangat itu. Aku melihat sisi yang berbeza dari Farah. Farah wanita yang kelihatannya tidak semudahnya terpesona dengan perasaan dan perjuangannya. Dia lebih kepada melihat masa depan dan sesuatu yang menjamin hidupnya. Boleh disebut Farah wanita yang hidup dalam dunia yang realiti sehingga kosong dari puisi-puisi cinta atau sejenisnya. Aku tidak faham bagaimana mungkin Nazrin boleh bertemu dengan Farah.

            Pernah Nazrin meluahkan rasanya tetapi Farah tenang tanpa ada reaksi yang menunjukan harinya tersentuh. Wajahnya kaku, gaya badannya bisu dan katanya tidak menggambarkan hati sudah cair bersama luahan rasa Nazrin. Sebenarnya, tidak ada yang pelik. Memang biasa kalau jiwa yang duduk dengan kenyataan akan bersifat mendatar dalam hal-hal hati.

            Bagi para pecinta, itu suatu yang merugikan. Untuk apa hidup dalam kenyataan sehingga kadang membawa kepada kebencian dan kedengkian. Kalau orang lain memiliki sesuatu dengan kenyataan tetapi kita boleh dapat yang lebih dengan berimaginasi dan melayani kata-kata hati. Hidup lebih tenang dan bebas.

            Kononya seorang wanita pernah dihina oleh wanita-wanita bangsawan kerana hidup bersama suami yang miskin, tidak terurus dan rumah kecil.

Wanita itu menjawab, “Kalau aku hidup didunia ciptaan kamu, maka apa yang dikatakan kamu itu semuanya benar. Akan tetapi aku hidup dengan hati ku, maka kata-kata kamu itu semuanya adalah pandangan yang tidak betul. Dan kalaulah kamu masuk ke dunia hati ku, nescaya kamulah orang-orang yang disebutkan tadi, manakala aku orang yang bahagia.”
***
            Dalam kisah cinta, biasanya penghujungnya adalah bersama dalam ikatan yang sah. Nazrin sudah bersedia untuk maksud  itu. Dia bersiap untuk membawa Farah kedalam hidupnya. Masalahnya cuma memerlukan kesediaan daripada Farah sahaja. Kalau Farah bersetuju, maka Nazrin akan mempersiapkan segala yang diperlukan.

            Akan tetapi ternyatanya berbeza, Farah meminta masa untuk berfikir. Farah berasa perlu menilai kembali perhubungannya dengan Nazrin. Aku sendiri tidak dapat memahami maksud Farah. Sahabat aku Nazrin menerima keputusan yang dibuat Farah, walaupun menurut aku, Farah tidak patut meminta masa. Meminta masa hanya untuk perkenalan yang baru, bukan perkenalan yang telah terjalin dengan sesudah pelbagai angan-angan dan janji.

            Aku kira hampir seminggu mereka tidak bertemu atas alasan masa untuk berfikir. Aku memerhatikan Nazrin yang menyimpan pelbagai persoalan dan kemungkinan. Keceriaan, senyuman sentiasa terlihatnya tetapi itu tidak cukup untuk menutupi apa yang dihatinya kerana aku sahabatnya.

            Persahabatan dengan cinta bezanya adalah percintaan akan membawa kepada berkahwin, 
sedang persahabatan adalah hubungan batin yang tidak terpisah kerana kehormatan, menghargai dan mencintai.

            Aku menceriakan dirinya dengan usikan dan berbual-bual di meja kecil sambil meneguk secawa kopi.

Aku bertanya, “Farah sudah hubungi kau atau belum?”
“Belum, aku sedang risau juga sebenarnya.” Keluh Nazrin.

Nah, ternyata tekaan aku tepat. Aku boleh agak yang menjadi kerisauan Nazrin adalah gambaran agama yang ada pada dirinya, Farah dan kelurganya. Nazrin sudah pernah bertamu kerumah Farah dan Farah juga begitu. Perbezaan terlihat antara Nazrin dan Farah. Nazrin sebagai sahabat aku adalah seorang yang biasa, tidak terlalu kearah agama. Namun, aku boleh pastikan dia mencintai Farah dan seorang yang baik.

Dia tidak suka mengata orang dan sibuk untuk menilai orang lain. Mungkin amalan dia tidak banyak atau hebat, berkopiah atau berpenampilan agamawan tetapi dia melakukan semampunya. Menurut aku ini lebih baik, dari penampilan agama yang merendahkan orang lain, syurga hanya untuk kumpulan mereka dan hanya mereka yang capai maksud beriman kepada Allah SWT dan beragama.

Kesimpulannya, kalau aku wanita, aku tidak berfikir panjang mahu menerima Nazrin.
***
Penghujungnya, Farah tidak menerima Nazrin. Ada berberapa alasan yang diberikan oleh Fara. Diantaranya, adalah tentang agama dan masa depan dia bersama Nazrin.

Agak kelakar bila aku teringat kembali alasan yang pernah Farah sebutkan apabila dilihat kenyataannya. Selepas beberapa tahun, Farah tetap mengahwini seorang Lelaki yang berpenampilan biasa seperti Nazrin dan bukan agamawan. Hanya kenyataan Lelaki tersebut lebih kaya dan ada sesuatu yang boleh dikagumi.

Tentang Nazrin pula, aku sudah putus hubungan dengannya selepas  berpisah buat kali terakhir. Nazrin pergi dengan senyuman, kenangan serta jawapan yang telah diberikan oleh Farah kepadanya.

“Azmi, moga kita berjumpa lagi. Aku ingin pergi melihat kenyataan dunia” Nazrin mengungkapkan kata-kata itu sambil ketawa kecil.

Itulah ucapan dia yang terakhir. Susah untuk memahami kisah cinta di zaman sekarang. Kalau dulu benar-benar menyentuh persoalan hati tetapi sekarang semuanya akan pergi kepada kenyataan. Tidak pasti apa yang telah menghilangkannya. Apakah kerana kisah dahulu itu khayalan atau kita dizaman ini yang memang tidak mempunyai hati seperti mereka yang dulu.

Aku menulis dan aku juga memikirkannya.

Zaman dahulu menyimpan banyak
kisah cinta sebagai kenangan.
Pengorbanan sebagai mesej tertinggi
melebihi emas dan kemewahan.
Di situ mereka menyampaikan makna hati
yang tersimpan.
Tidak boleh diganti dan punya ukuran.
Bolehkah kisah cinta zaman dahulu
berulang kembali pada waktu ini yang
hidup penuh dengan benci dan dengki?
Apakah kisah itu sekadar tulisan hasil
dari khayalan yang tidak ada nilai tambah buat ikutan?
Zaman dahulu membina kehidupan dengan
hati dan perasaan lalu melahirkan kisah cinta
yang mampu membangkitkan nilai kemanusiaan.
Masa kini membangun kemajuan dan peradaban tetapi
berkurang dan hampir hilang kisah cinta untuk di tulis
buat menyembuhkan hati yang sakit supaya melihat
kebaikan serta menyebar keindahan.








2 komentar: