Jumat, 25 Desember 2015

Melihat Hari Esok




Hari esok tidak ada yang perlu ditakutkan. Hari esok adalah suatu rahsia yang gambarannya ada pada hari ini. Kita tidak punya pilihan menentukan hari esok tetapi kita mempunyai pilihan untuk menentukan hari ini.

Keadaan diri kita hari ini mempengaruhi esok. Makanya penting untuk kita melakar hari ini sebaik mungkin. Itu baru dilihat dari sudut individu semata-mata, bagaimana pula jika yang dilihat hari esok adalah masyarakat dan negara, pasti lebih banyak yang kita perlu lakukan pada hari ini.

Persoalan hari esok tentang masyarakat dan negara bukan lagi milik individu tertentu. Persoalan itu harus menjadi beban kepada semua. Semua harus berasa mempunyai tanggungjawab untuk menjadikan negara hari esok benar-benar memberi kesenangan, setidaknya pada generasi baru.

Silap, kalau kita cuma duduk menyalahkan pemimpin semata-mata kerana pemimpin yang sudah tertipu dengan jawatan, tidak akan pedulikan kita lagi.

Silap, kalau kita cuma berharap kepada agamawan kerana agamawan yang dibeli dengan dunia akan menyembunyikan ilmunya untuk kepentingan diri semata-mata.

Silap, kalau kita mengharapkan pemikir supaya menyelesaikan masalah kita kerana mereka juga manusia yang kadang berfikir mengenai diri sendiri semata-mata.

Justeru, kitalah sendiri yang mampu melakar hari esok..


Membaca dan Sikap peduli

            Agar kita mudah untuk melihat hari esok adalah dengan membaca. Membaca tidak perlu untuk mengeluarkan teori-teori pintar sehingga tidak diketahui orang lain. Membaca yang lebih bermakna adalah apabila bacaan tadi dapat disimpulkan lalu memberi manfaat kepada diri serta manusia lain.

Kadang menjadi budaya orang berbangga-bangga dengan bacaan atau status pendidikan tetapi dirinya kaku. Dia dipuja hanya untuk menjadi lebih mulia dari orang lain. Sayangnya ilmunya tidak dapat memberi manfaat secara meluas. Keadaan seperti ini juga satu kerugian. Umpama minyak wangi tapi tidak boleh dicium bau harumnya.

Apa yang diperlukan adalah bacaan yang tepat dan sesuai mengikut keperluan kita. Jangan kita sibuk membaca sesuatu yang kita tidak ada keperluan untuk tahu dan bukan dari kalangan ahlinya. Kita perlu membaca sesuatu yang kita dapat mengambil pengetahuan dan menangkap makna yang ada disebaliknya.

Bukan bermaksud saya ingin menyekat pembacaan, tidak. Bacalah, bacalah seluas mana pengetahuan yang ada. Saya cuma mengingatkan bahawa jangan sampai kita terlupa untuk memilih bacaan yang lebih tepat dan sesuai untuk kita.

            Kita harus menyedari masa terbatas dan kemampuan diri manusia berbeza-beza. Sayang jika kita mempunya kemampuan untuk membuat hari esok lebih baik dengan memilih bacaan yang tepat tetapi menjadi kaku disebalik pembacaan yang bercampur-baur.

Kemudian, sikap peduli adalah tanda bahawa pembacaan kita itu bermakna. Membaca itu hasilnya menghidupkan fikiran untuk melihat realiti yang berlaku. Penglihatannya menjadi luas: segala permasalahan yang ada menjadi beban fikir dirinya, masalah kemiskinan, pendidikan, masyarakat dan keseluruhannya disesuaikan dengan bacaannya.

Jangan pernah bangga dengan pembacaan kita kalau kita belum memiliki tanda diatas. Kalau kita cuma boleh melihatkan buku-buku yang tersimpan atau menyebut-nyebut teori yang ada, kita belum membaca. Orang yang membaca adalah orang yang dibuka fikiran, penglihatan dan hatinya untuk peduli kepada sekeliling.  
           
Mempengaruhi hati dan peribadi

            Kita perlu mula-mula untuk menilai hari dan peribadi kita. Sejauh mana kita bersikap kepada orang lain. Apakah kita masih menyemai kebencian, kedengkian dan bermain-main dengan permusuhan. Sekiranya masih ada seperti ini, maka percayalah hari esok adalah hari yang gelap. Bukan saja diri sendiri tetapi percayalah sekeliling kita ada ditutupi oleh kegelapan yang berpunca dari diri masing-masing.

            Siapa pemimpin, bagaimana pendidikan, kemiskinan dan lain-lain permasalahan adalah dilihat kepada diri masing-masing.

            Teori yang menyatakan bahawa, “pemimpin itu cerminan dari masyarakat”, ada kebenaran yang boleh kita terima.

           Kita marahkan pemimpin yang bersikap sebaliknya tetapi lihatlah sekililing bermula dari bawah. Masyarakat biasa, agamawan, pemikir dan siapa diri kita sendiri. Kadang semuanya cuma membicarakan atau mengambil keuntungan buat diri semata-mata. Berselindung disebalik kelebihan yang diberikan untuk memperdayakan orang yang tidak menegerti apa-apa. Lalu, tidak perlu pelik pemimpin yang tidak peduli mengenai nasib bawahannya akan lahir dari masyarakat seperti ini.

            Luaskanlah kembali rasa cinta dalam diri. Biarkan cinta tadi mepengaruhi dan memperbaiki segala kekurangan diri.  Melalui cinta kita akan tahu serta mampu berfikir dimana kita harus bermula supaya hari esok itu tidak membuat kita inginkan kembali ke hari ini agar dapat membetulkan kesilapan yang ada.

            Hari esok akan tiba, biarlah cinta yang menjadi kuncinya, pintunya pula biarlah dari rasa peduli dan mengambil tahu. Maka bersama kunci cinta dan pintu sikap peduli tadi, kita akan memasuki hari eosk yang mana telah disebut dalam AL-Quran atau digambar dalam sejarah Islam yang lama.

Masa dimana agama itu benar-benar memberi makna ‘Rahmat’ kepada manusia dan tanpa mengira agama boleh merasakan keluasan ‘Rahmat’ yang merupakan sebahagian dari sifat Allah SWT.

            

Tidak ada komentar:

Posting Komentar