Tampilkan postingan dengan label Cerpen. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Cerpen. Tampilkan semua postingan

Minggu, 24 Januari 2016

Pagi yang Redup



Pagi waktu dimana cahaya mentari memancar redup, embun masih belum kering, suhu dingin menyentuh kulit adalah waktu manusia bersiap-siap untuk memulakan harinya. Ada yang bersiap untuk menjemput rezeki, berkerja dan ke kelas.

            Aku salah seorang dari yang sedang bersiap-siap untuk ke kelas yang akan bermula pagi ini. Bergegas keluar dari rumah, aku tiba-tiba terpaku, fikiran yang ingin mahu cepat ke kelas hilang melihatkan seorang gadis kecil bersama guni yang hampir sebesar badannya.

            Tudung bewarna coklat, bajunya juga berwarna coklat yang sudah lusuh, seluar sukan yang singkat hingga ke betis, wajah suci yang terlindung disebalik kecomotan.
            Sempat aku mengeluh, 

“Kenapalah pagi-pagi sudah dilihatkan kisah seperti ini.”

            Mungkin diantara kita sudah biasa susah tetapi menurut aku ini adalah kisah yang berbeza. Hati dan diri seolah-olah mampu merasakan beban yang dialami oleh dirinya. Dunia seperti apa yang sedang kita bina sebenarnya dibawah lambang kemajuan dan pembangunan yang pesat ini.

***

            “Tunggu sekejap adik” jerit aku.

              Dia menghentikan langkahnya dengan wajah yang agak kehairanan. Mungkin kali pertama dia disapa atau ada kerisauan lain yang bermain difikirannya yang masih berumur sekitar 10 tahun. Wajahnya benar-benar wajah yang tidak bersalah, penat dapat dilihat seketika dia meletakan guninya kebawah, bibirnya masih bisu tanpa menjawab apa-apa tapi dia masih menunggu disitu.
            Aku menghampiri dirinya. Menahan sebak melihatkan gadis yang masih kecil yang sepatutnya ke sekolah tetapi berpagi-pagi mencari botol-botol dan tin di tempat sampah sekitar kawasan perumahan.

            “Adik tunggu sebentar ya, abang pergi kedai sekejap. Tunggu ya!”

Dia cuma menganggukan kepalanya sebagai tanda terima arahan yang disampaikan. Aku pergi ke kedai membeli beberapa potong kuih dan air untuk diberikan kepada adik tadi.

Aku memberikan kuih dan air minum tadi kepadanya, Aku melihat dia makan dan minum sehingga selesai. Banyak yang ingin aku tanyakan tetapi melihatkan keadaan dirinya sedang menikmati potongan kuih tadi mengunci mulit aku dari mengganggu seleranya.

“Biarlah dia makan kuih dulu” kata aku dalam hati.

            Selesai dia menikmati, aku mengajukan pertanyaan,
“Adik tidak sekolah?”
“Tak sekolah lagi abang.”
“Adik, ada ayah dan mak?”
“Ada, mak sakit, ayah sedang mengutip dekat sana.” Sambil menunjukkan jarinya kearah perumahan yang lain.
“Oh, nama adik siapa, umur berapa?”
“Siti, 11 tahun.”

Memandangkan waktu suntuk harus ke kelas, aku terpaksa menghentikan perbualan dan membirkan adik tadi untuk meneruskan usahanya mencari tin dan botol. Agak sebak dan berat juga untuk melangkah kaki meninggal gadis kecil tanpa memberikan bantuan yang selayaknya. Hanya mampu menghulurkan beberapa ringgit pastinya tidak akan mampu mengubahnya nasibnya dan membuatkan dirinya boleh bersekolah.

“Entahlah, kenapa harus aku pula yang memikirkannya, mana lah pemimpin sekarang ini.”

***

Dalam perjalanan ke kelas, fikiran masih membayangkan wajah gadis kecil tadi. Bagaimanalah nasib dia esok hari. Sampai bila dia harus merasai beban hidup mengutip botol dan tin. Seharusnya dia bersekolah supaya dengan pendidikan dia akan dapat mengubah nasib hidupnya. Pendidikan dan ilmu adalah pintu mengubah kehidupan yang sering disebut-sebut dan menag terbukti benar.

Aku masuk ke ruangan kelas, duduk seperti biasa di sebelah teman aku bernama Azuan. Aku tidak dapat menumpukan perhatian didalam kelas. Kadang, matanya aku berasa seperti menakung air yang sedang ingin mencurah keluar tetapi tertahan. Kelas 2 jam berlalu begitu saja. Aku hanya memikirkan mengenai nasib gadis kecil tadi.

Azuan tiba-tiba menyapa aku,”Kenapa kau lewat hari ini Aizat?”
“Entahlah, aku fikirkan tentang gadis kecil yang aku jumpa tadi” aku cuba bercerita kepadanya.
“Kenapa dengan gadis kecil sampai aku tengok kau lain sekali hari ini, mata pun merah macam nak menangis?” sambil memegang bahu aku dia menyuruh aku bercerita.

Aku pun menceritakan kepada dia tentang gadis kecil yang memungut tin dan botol. Aku meluahkan rasa sedih, terkilan kerana tidak mampu membantu dan membayangkan nasib dia yang akan datang. Bagaimana gadis yang akan tumbuh menjadi dewasa harus melalui kehidupan seperti itu.
Azuan turut bersedih, walaupun dia tidak berjumpa dengan gadis kecil atau adik yang aku maksudkan, aku boleh lihat wajahnya bertukar sebak. Berbanding aku, Azuan orang yang lebih sensitivf dan peka dengan keadaan sekeliling.

Azuan berkata, “Ini bukan saja tentang kau dan aku, Aizat. Kita dizaman yang mana pemerintah sedang tidur, agamawan sedang kekenyangan, pemikir sedang bermain-main dan orang kaya sibuk untuk terus kaya semata-mata. Mahasiswa seperti kita hanya boleh berdoa dan berusaha supaya dapat mengubah keadaan yang ada”

Aku dapat menangkap maksud yang disampaikan oleh Azuan. Yang bermasalah bukan ekonomi, akan tetapi mereka yang penting dalam struktur masyarakat tidak memainkan peranannya dengan amanah. Masing-masing ada kepentingan peribadi dan sanggup menjual apa saja termasuk agama demi diri sendiri. Tidak ditambah lagi dengan pengikut yang fanatik sehingga tidak boleh mengkritik pemimpin pilihannya, agamawan yang disanjung, tokoh pemikir yang hebat dan orang kaya yang penuh kemewahan.

“Semoga Allah SWT membantu kamu, wahai gadis kecil.”

Aku menutupi pelbagai pertanyaan dan kritikan didalam kepala aku dengan doa kepada gadis kecil tadi. Ya, hanya Dia yang mampu membantu dan memelihara setiap manusia sebaiknya dan Dialah yang mengetahui apa itu rahmat dan bagaimana bersikap dengannya.

***

Hari ini, di waktu pagi aku menunggu kalau gadis kecil datang mengutip di kawasan ini. Lama menunggu tidak kelihatan gadis kecil tersebut.
Aku melihat cuma ada seorang pakcik yang sedang membuka plastik sampah dan mengasingkan tin serta botol ke dalam guni.
Aku yakin itu mungkin bapa kepada Siti tadi, aku mendekati dan bertanya.

“Assalammualaikum, maaf mengganggu, pakcik kenal Siti?”

            Pak cik tadi langusng melihat kearah aku dengan senyuman seolah-olah dia sudah mengenali aku sebelum ini.

            “Waalaikumsalam, ya, saya ayahnya, terima kasih kerana memberi wang kepada Siti kelmarin.” Terlihat senyuman di wajah yang tenang begitu manis sekali.
“Eh, tak pa tu, Siti nya mana ya pak cik, tak nampak pula dia kali ini?”
“Alhamdulillah, sekarang dia sudah bersekolah. Ada orang yang sudi mahu menguruskan perbelanjaan sekolahnya.”

            Allah SWT saja yang tahu betapa gembiranya hati aku mendengar yang dia sudah bersekolah. Mudah-Mudahan itu akan menjadi jalan untuk dia mengubah nasib hidupnya apabila dewasa nanti. Semoga juga Allah SWT memurahkan rezeki orang yang membantu dirinya.

            Dalam kegembiraan aku mengajukan persoalan lagi kali terakhir “Pakcik kenapa pak cik masih mengutip sampah, pakcik ada mohon bantuan di mana-mana?”
“Pakcik perlu menguruskan isteri yang sakit dan anak-anak pakcik yang lain, kerja seperti ini tidak perlukan masa, kita sendiri yang menentukan. Tentang masalah bantuan, dulu pernah beberapa tahun lepas pakcik mohon tetapi tidak ada jawapan. Kalau mahu pergi lagi payah kerana tidak ada yang mahu tengok isteri dan anak-anak. Tempatnya pun jauh.”

              Jawapannya benar-benar menyentuh hati aku. Mengenai masalah bantuan, aku teringat kata-kata Azuan. Betul sekali apa yang dikatakan Azuan di kampus.

            “Semoga Allah SWT permudahkan urusan pakcik, Ini ada hadiah buat Siti Fatimah, sampaikan salam aku dan katakan pada dia, semangat dan belajar bersungguh-sungguh., ada rezki aku datang melihat dia.” Aku menyampaikan pesan sambil tersenyum

            Ayah gadis kecil berlalu selepas mengucapkan terima kasih kerana prihatin kepada anaknya. Aku berharap suatu hari nanti aku mampu jadi sesuatu untuk mereka yang seperti ini.

Bahagia orang atas ada derita anak kecil
Sebalik dipuja agamawan ada yang kelaparan
Kepandaian pemikir menutur kata ada yang terhalang pendidikan
Orang kaya terus mengumpul kekayaan untuk dibawa ke tempat mati.

Kalau adanya orang atas, agamawan, pemikir dan orang kaya tetapi kemiskinan juga subur
beerti ada yang mati, kalau tidak golongan tadi, amanah!


Jumat, 22 Januari 2016

Diantara Hati dan Kenyataan

                                                                       

https://www.google.co.id/url?sa=i&rct=j&q=&esrc=s&source=images&cd=&cad=rja&uact=8&ved=0ahUKEwjL-9Hfmr_KAhULCI4KHSfdAAQQjRwIBw&url=https%3A%2F%2Fpenajariku.wordpress.com%2Fcategory%2Fpoem%2F&psig=AFQjCNEAisJlZKF7P_1OkpERkhcXSu4kTg&ust=1453613582392146
                                                                    
Aku teringat kenalan aku yang bernama Nazrin, walaupun aku sudah membaca banyak kisah cinta yang ada tetapi bagi aku kisahnya lebih melekat dalam ingatan. Aku menjadi sebahagian dari ceritanya, mendengar dan memahami. Bagaimana apabila cinta itu dipisah-pisahkan oleh penilaian peribadi dan kejujuran yang nyata. Mempersoalkan keimanan dan keagamaan atas setiap luahan perasan yang lahir.

Cinta akan menuruti zaman sehingga ke penghujungnya kerana mulanya juga kerana cinta. Menulis tentang cinta seperti menulis pengalaman semua hidup manusia. Tidak ada manusia yang terlepas dari cinta.  Walaupun berbeza tentang bagaimana dan kenapa sekalipun, itu tidak pernah memisahkan atau membezakan kita apabila menceritakan tentang cinta atau pengalamannya.

Dari sudut keagamaan, cinta akan menghubungkan kepada tuhan dan agama. Manakala dari kebiasaan cerita cinta yang biasa, cinta yang ditawarkan adalah lebih kepada perasaan dan perjalanan percintaan tersebut. Namun, cerita cinta ini tidak bermaksud gagal atau tidak sehebat sudut keagamaan yang menyebut jelas unsur-unsur agama dan tuhan.

Kedua-duanya ada cara sendiri untuk membawa maksud keindahan yang ada disebalik kisah-kisah cinta yang ditulis. Mengenai siapa membaca dan apa yang dikehendaki itu penilaian peribadi dan manusia tidak semuanya sempurna. Berbanding menawarkan kisah unsur keagamaan tetapi penuh dengan kepuraan-puraan, lebih baik membiarkan kisahnya hidup dengan kenyataan yang membawa pengajaran dan penghidupan tersendiri.

Kisah cinta ini lebih memerlukan kejujuran untuk sampai kepada akhirnya. Melafazkan cinta pada diri yang tidak jelas adalah sia-sia walaupun dihubungkan kepada tuhan. Pilihlah siapa ingin dicintai agar punya cinta yang sempurna atau akan berulang kisah cinta yang sekadar memuja tapi tidak pernah memiliki.  

***
            Nazrin mencintai seorang wanita bernama Farah.  Nazrin terikut-ikut cinta yang menghubungkan kepada agama dan tuhan. Memang suatu yang biasa dizaman ini bercinta dengan dendangan agama. Nazrin sering bertemu dengan Farah sebagai pasangan yang sedang membina mimpi dan ingin menggapainya. Nazrin yang lebih banyak bermimpi dan berusaha untuknya.
         
   Setiap hari dia berfikir tentang Farah. Berangan-rangan sehingga aku memecahkan angan-anganya dengan kejutan. Termenung seperti ada suatu yang menjadi beban. Hatinya tidak dapat diagak. Kadang senyumnya manis seperti melalui taman-taman bunga. Kadang membisu seolah-olah tidak ada yang bermain di fikirannya. Kesungguhan cinta dan melafazkannya memaksa Nazrin untuk membenarkan lafaz yang sudah terucap.

            Nazrin pernah berkata kepada aku, “Aku yang melafazkannya, maka aku harus menyempurnakannya.”

            Aku kagum dengan semangat itu. Aku melihat sisi yang berbeza dari Farah. Farah wanita yang kelihatannya tidak semudahnya terpesona dengan perasaan dan perjuangannya. Dia lebih kepada melihat masa depan dan sesuatu yang menjamin hidupnya. Boleh disebut Farah wanita yang hidup dalam dunia yang realiti sehingga kosong dari puisi-puisi cinta atau sejenisnya. Aku tidak faham bagaimana mungkin Nazrin boleh bertemu dengan Farah.

            Pernah Nazrin meluahkan rasanya tetapi Farah tenang tanpa ada reaksi yang menunjukan harinya tersentuh. Wajahnya kaku, gaya badannya bisu dan katanya tidak menggambarkan hati sudah cair bersama luahan rasa Nazrin. Sebenarnya, tidak ada yang pelik. Memang biasa kalau jiwa yang duduk dengan kenyataan akan bersifat mendatar dalam hal-hal hati.

            Bagi para pecinta, itu suatu yang merugikan. Untuk apa hidup dalam kenyataan sehingga kadang membawa kepada kebencian dan kedengkian. Kalau orang lain memiliki sesuatu dengan kenyataan tetapi kita boleh dapat yang lebih dengan berimaginasi dan melayani kata-kata hati. Hidup lebih tenang dan bebas.

            Kononya seorang wanita pernah dihina oleh wanita-wanita bangsawan kerana hidup bersama suami yang miskin, tidak terurus dan rumah kecil.

Wanita itu menjawab, “Kalau aku hidup didunia ciptaan kamu, maka apa yang dikatakan kamu itu semuanya benar. Akan tetapi aku hidup dengan hati ku, maka kata-kata kamu itu semuanya adalah pandangan yang tidak betul. Dan kalaulah kamu masuk ke dunia hati ku, nescaya kamulah orang-orang yang disebutkan tadi, manakala aku orang yang bahagia.”
***
            Dalam kisah cinta, biasanya penghujungnya adalah bersama dalam ikatan yang sah. Nazrin sudah bersedia untuk maksud  itu. Dia bersiap untuk membawa Farah kedalam hidupnya. Masalahnya cuma memerlukan kesediaan daripada Farah sahaja. Kalau Farah bersetuju, maka Nazrin akan mempersiapkan segala yang diperlukan.

            Akan tetapi ternyatanya berbeza, Farah meminta masa untuk berfikir. Farah berasa perlu menilai kembali perhubungannya dengan Nazrin. Aku sendiri tidak dapat memahami maksud Farah. Sahabat aku Nazrin menerima keputusan yang dibuat Farah, walaupun menurut aku, Farah tidak patut meminta masa. Meminta masa hanya untuk perkenalan yang baru, bukan perkenalan yang telah terjalin dengan sesudah pelbagai angan-angan dan janji.

            Aku kira hampir seminggu mereka tidak bertemu atas alasan masa untuk berfikir. Aku memerhatikan Nazrin yang menyimpan pelbagai persoalan dan kemungkinan. Keceriaan, senyuman sentiasa terlihatnya tetapi itu tidak cukup untuk menutupi apa yang dihatinya kerana aku sahabatnya.

            Persahabatan dengan cinta bezanya adalah percintaan akan membawa kepada berkahwin, 
sedang persahabatan adalah hubungan batin yang tidak terpisah kerana kehormatan, menghargai dan mencintai.

            Aku menceriakan dirinya dengan usikan dan berbual-bual di meja kecil sambil meneguk secawa kopi.

Aku bertanya, “Farah sudah hubungi kau atau belum?”
“Belum, aku sedang risau juga sebenarnya.” Keluh Nazrin.

Nah, ternyata tekaan aku tepat. Aku boleh agak yang menjadi kerisauan Nazrin adalah gambaran agama yang ada pada dirinya, Farah dan kelurganya. Nazrin sudah pernah bertamu kerumah Farah dan Farah juga begitu. Perbezaan terlihat antara Nazrin dan Farah. Nazrin sebagai sahabat aku adalah seorang yang biasa, tidak terlalu kearah agama. Namun, aku boleh pastikan dia mencintai Farah dan seorang yang baik.

Dia tidak suka mengata orang dan sibuk untuk menilai orang lain. Mungkin amalan dia tidak banyak atau hebat, berkopiah atau berpenampilan agamawan tetapi dia melakukan semampunya. Menurut aku ini lebih baik, dari penampilan agama yang merendahkan orang lain, syurga hanya untuk kumpulan mereka dan hanya mereka yang capai maksud beriman kepada Allah SWT dan beragama.

Kesimpulannya, kalau aku wanita, aku tidak berfikir panjang mahu menerima Nazrin.
***
Penghujungnya, Farah tidak menerima Nazrin. Ada berberapa alasan yang diberikan oleh Fara. Diantaranya, adalah tentang agama dan masa depan dia bersama Nazrin.

Agak kelakar bila aku teringat kembali alasan yang pernah Farah sebutkan apabila dilihat kenyataannya. Selepas beberapa tahun, Farah tetap mengahwini seorang Lelaki yang berpenampilan biasa seperti Nazrin dan bukan agamawan. Hanya kenyataan Lelaki tersebut lebih kaya dan ada sesuatu yang boleh dikagumi.

Tentang Nazrin pula, aku sudah putus hubungan dengannya selepas  berpisah buat kali terakhir. Nazrin pergi dengan senyuman, kenangan serta jawapan yang telah diberikan oleh Farah kepadanya.

“Azmi, moga kita berjumpa lagi. Aku ingin pergi melihat kenyataan dunia” Nazrin mengungkapkan kata-kata itu sambil ketawa kecil.

Itulah ucapan dia yang terakhir. Susah untuk memahami kisah cinta di zaman sekarang. Kalau dulu benar-benar menyentuh persoalan hati tetapi sekarang semuanya akan pergi kepada kenyataan. Tidak pasti apa yang telah menghilangkannya. Apakah kerana kisah dahulu itu khayalan atau kita dizaman ini yang memang tidak mempunyai hati seperti mereka yang dulu.

Aku menulis dan aku juga memikirkannya.

Zaman dahulu menyimpan banyak
kisah cinta sebagai kenangan.
Pengorbanan sebagai mesej tertinggi
melebihi emas dan kemewahan.
Di situ mereka menyampaikan makna hati
yang tersimpan.
Tidak boleh diganti dan punya ukuran.
Bolehkah kisah cinta zaman dahulu
berulang kembali pada waktu ini yang
hidup penuh dengan benci dan dengki?
Apakah kisah itu sekadar tulisan hasil
dari khayalan yang tidak ada nilai tambah buat ikutan?
Zaman dahulu membina kehidupan dengan
hati dan perasaan lalu melahirkan kisah cinta
yang mampu membangkitkan nilai kemanusiaan.
Masa kini membangun kemajuan dan peradaban tetapi
berkurang dan hampir hilang kisah cinta untuk di tulis
buat menyembuhkan hati yang sakit supaya melihat
kebaikan serta menyebar keindahan.








Jumat, 01 Januari 2016

Terbanglah Kembali

http://i1.wp.com/3.bp.blogspot.com/-ShK10hLVcuE/VP8DazjJSII/AAAAAAABCiw/k67N156Gkm4/s1600/22.jpg?w=450


“Cuba kamu lihat disini Amirul, ada burung cedera.”
“ Pedulikan dulu burung, kita sudah penat berjalan, kita harus cari tempat berehat disekitar sini.”
Balas Amirul kepada Luqman.
“ Tapi aku ingin merawatnya, warnanya terlalu cantik, lagipun dia masih boleh sembuh kalau dijaga dengan baik, aku ingin bawa sekali bersama kita.” Kata Luqman
“Bawalah, pastikan engkau merawat dan menjaganya, kalau tidak biarlah dia mati menurut takdirnya.”

            Amirul dan Luqman merupakan sasterawan yang berjalan melalui daerah-daerah terpencil, mencari sumber untuk berkarya, menulis, melukis dan menabur budi. Mereka tidak berasa senang atau cukup dengan duduk berdiam dan hanya sekadar mencari ilham melalui bayangan yang terbatas. Dengan berjalan atau mengembara mereka dapat melihat dunia penuh dengan sumber yang tidak terbatas. Penulisan lebih matang, puisi lebih indah memberi maksud yang mendalam, sumber melukis luas dan yang paling membahgiakan adalah berkongsi dengan masyrakat setempat.

Luqman membuat puisi,
“Aku diam di kamar kecil sendirian
Tetapi penaku  bercakap tetang kemanusiaan
Aku membuat penilaian dan berasa
mereka semua dalam kegelapan.
Sesudah aku keluar seperti burung,
Barulah aku sedar yang dalam
Kegelapan itu aku,
Dan selama di kamar kecil
Aku rupanya bukan manusia.”

            Amirul pernah membaca puisi luqman yang bertajuk, ‘Aku di dalam Kamar’. Dia berasa  tersentak dengan puisi ini. Makanya dia membuat pilihan untuk bersama-sama dengan luqman mengembara dan mencari makna puisi tadi. Amirul yang sememangnya penulis yang penuh kritikan dan membuka segala kekurangan dunia, menemui ciri yang berbeza dalam luqman.

Perbezaan ini yang Amirul ingin terus belajar supaya tidak sekadar seperti memburuk-burukan yang berada ditangan kiri supaya yang ditangan kananya terlihat indah atau memuliakan diri sendiri dengan cara menyebut-nyebut keburukan orang, suasana atau pemerintah. Bagi amirul seorang sasterawan tidak harus begitu.

 Dia harus membawa masyarakat keluar kepada penyelesaian. Selepas lama bersama luqman mengembara, Amirul pernah menulis satu puisi mengenangkan cara penulisannya yang dulu dan masyarakat,

“Aku berkata hitam itu hitam.
Putih itu putih,
Lalu aku mengembara jauh,
Diperjalanan aku melihat bintang
Menjadi lebih cantik dalam kegelapan
Langit,
Lalu aku berkat, putih dan hitam rahsia tuhan yang paling dalam.
Aku berkata,
merah itu merah,
Biru itu biru,
Kuning itu kuning,
Sehinggalah aku lihat pelangi
Aku berkata
“merah, biru, kuning itu warna yang penuh keindahan”
           
            Hampir bertahun mereka meninggal kampung dan bersama-sama mengembara, banyak yang mereka pelajari, bahasa, kehidupan dan kepayahan. Berdua mengajakan erti setia kawan dan saling bantu-membantu. Kerana sudah namanya mengembara pasti jalannya tidak selamanya datar dan dhiasi tawa dan bahagia. Pernah juga bergantian sakit, menyaksikan keadaan yang menyedihkan, diganggu, dihina dan lain-lain yang menyakitkan. Semua itu diambil dengan penuh tenang dan memberi mereka lebih semangat untuk terus mengembara.

***

                        “Amirul, kita berehat dipondok sini saja dulu beberapa hari ini sehingga burung ini sembuh.”
“ Baiklah luqman, jalan mahu ke kampung terdekat juga masih jauh lagi.”
“ Burung ini sungguh cantik sekali, sepertinya burung merpati, tetapi bulunya berwarna-warni.”
“ Kalau tidak salah aku, itu burung merapati juga, namanya Punai Gading.”
“Ya, sayang kalau dibiar, mungkin kita boleh jadikan dia sebagai teman kita.”

 Luqman menjaga serta burung merpati hijau dan campuran merah jambu dilehernya, warna nya sungguh cantik dan lembut dipandang. Tetapi sayang burung merapati itu tidak mampu terbang dan berjalan. Sayapnya patah dan kelihatan kakinya terluka. Entah malang apa yang mnimpa dirinya. Kalau kerana binatang yang punya angkara, itu hal yang biasa dialam binatang. Akan tetapi kalau manusia yang punya angkara, pastinya manusia tersebut penuh dengan kebencian sehingga sanggup bersikap kasar dengan burung yang cantik seperti ini.

            Siang berganti malam, hari berganti minggu dan hampir sebulan , burung merpati tadi sudah mampu untuk berdiri dan kelihatan lebih banyak bergerak. Terlihat dia sudah cuba mengepak-ngepak sayapnya yang patah, mungkin cara dia merawat dirinya supaya mendapat kekuatan kembali untuk terbang.

            Luqman sanggup ke hutan mencari daun-daun yang boleh dibuat ubat. Masanya dihabiskan untuk merawat burung merpati tersebut. Amirul cuma bantu-membantu apa yang perlu. Amirul lebih sibuk berkarya dan membaca buku-buku yang ada.

            Luqman terlihat senyum sendiri melihat kelakuan burung merpati yang sudah mulai sembuh. Senyumnya seperti sedang berkasih dengan teman pujaan hati. Kadang dia bercakap-cakap dengan burung merpati tersebut.

            “Engkau harus sembuh, sayang kalau burung secantik engkau mati begitu saja, engkau cukup cantik untuk menghiasi bumi ini.”

            Begitulah antara kata-kata semangat yag sering diucap Luqman. Mungkin kata-katanya tidak boleh difahami tetapi keikhlasan dan kecintaan Luqman telah sampai kepada burung merpati sehingga dia menunjukan kesembuhan.

            Setelah hampir sebulan lebih, burung merpati sudah terbang didalam sangkar kecil. Luqman yang melihatkan burung yang dijaga dengan baik sudah boleh terbang, gembiranya seperti ayah yang menyambut kelahiran anaknya. Luar biasa sekali sifat ihsan yang ada jiwa pecinta sehingga haiwan juga dapat menumpang hikmahnya.

            Luqman mengusap-usap burung merpati kesayangannya setiap hari. Dirapikan bulunya, diberikan makan buah-buahan yang segar. Amirul kadang bergurau dengan berkata,

“Beruntungnya aku kalau jadi burung yang cantik dan ditemukan oleh jiwa pencinta seperti engkau.”

            Luqman hanya ketawa dengan kata-kata tersebut. Dia terlalu senang melihat burung merpati nya sembuh. Kecantikan warna bulu burung merapati itu lebih hidup apabila dia boleh terbang didalam sangkar buatan Luqman sendiri. Melihat burung merpati terbang dan memberi makan satu kepuasan bagi Luqman. Apatahlagi dia yang menjaga dan merawat burung merpati itu sehingga sembuh.

            Cuma ada satu persoalan yang timbul, apakah burung merpati perlu dilepaskan kembali ke alam raya yang bebas spertimana burung yang lain. Atau terus menjaganya sebagai teman hiburan bersama. Luqman takut kalau akn menyiksa burung merpati tersebut kerana sangkarnya yang terlalu kecil.

 Amirul pun pernah berkata, “Luqman kalau burung ini, biarlah dia terbang bebas kerana disitulah alam dia. Apa yang akan berlaku nanti sudah sebahagian dari kehidupan, sama seperi manusia juga. Walaupun dia mati atau apa, sekurang-kurangnya dia menjadi burung yang mana layaknya.”
“Aku tahu, tetapi kan tak salah kalau aku jaga dengan baik, hukumya pun harus, aku suka melihat warnanya yang cantik dan bermain dengannya.” Luqman menjawab dengan sedikit raqu.

            Payah untuk menafikan kata-kata Amirul. Menurut Luqman juga begitu sebenarnya. Mungkin kerana telah menghabiskan masa dan perhatian kepada burung merpati yang sakit tadi membuatkannya sayang untuk melepaskan.

            Sekiranya melihat burung lain di pokok, Luqman menjadi teringat kepada burung merpati kesayangannya. Timbul rasa bersalah dalam dirinya, apakah perlu dia melepaskan burung merpati ke alam yang luas atau terus dibawanya sehinggalah dia atau burung merpati yang akan mati dulu.

            “Kecintaan tidak pernah dibatasi atas siapa dan untuk apa”

            Setelah lama berfikir, Luqman membuat keputusan untuk melepaskan burung merpati tersebut. Biarlah dia akan kehilangan teman yang paling setia dalam mendengar bicara dirinya menurut Luqman.

***

            Esoknya, dipagi hari, mentari masih lembut menyinar, Luqman melepaskan burung merpati kesayangannya. Awalnya, terlihat burung merpati itu duduk di atas pohon berdekatan, sepertinya dia juga tidak menerima untuk dilepaskan pergi.

            Namun, akhirnya burung merpati tersebut terbang mengikut kemahuannya dan tanpa dirinya tahu bagaimana nasibnya lagi.

            Luqman tersenyum sambil menahan air mataya. Dia sayang dengan burung tersebut tetapi dia harus terima bahawa burung itu milik alam yang luas. Dia harus mengikut takdirnya sendiri.

            Luqman dan Amirul meneruskan perjalanannya kembali. Semasa dalam perjalan selepas dari perpisahan dengan burung kesayangannya, Luqman ternampak sangkar burung dengan anaknya yang kecil. Gaya anak itu membuka mulutnya menanti makanan dari ibunya membuatkan Luqman yakin dengan keputusannya. Dia yakin burung merpati yang cantik tadi akan menemukan kehidupannya juga. Sebagaimana layak seekor burung yang lain.

“Cinta itu tidak pernah ada batasan,
Terhadap siapa dan seperti apa,
Cinta itu ada dalam hati,
ia mengikuti kemana saja
dengan tujuan,
Untuk memberi erti dan seri”
           

           
                       
           



Selasa, 08 Desember 2015

Sebatas Impian


              


                 “Sebelum tidur ni cubalah cari cerita yang kelakar sikit” ujar Syukri
            “ Kelakar aku tak berapa sangat, antara kita bertiga Razif yang selalu buat lawak.” Halim memberi cadangan
             Syukri bersetuju dan merayu kepada Razif “Betul juga, Razif cepatlah cerita, biar terhibut hati yang lara ni. Haha”
            “Aku tak pandailah, tapi aku ada teringat cerita orang gila, tak kelakar  pun kau dan Syukri kena gelak juga.” Razif membalas bersetuju
Syukri dan Halim mengangguk tanda bersetuju dan diam untuk menghayati cerita tentang orang gila dari Razif.
            “ Ceritanya begini, ada dua orang gila, kita sebut yang pertama A dan yang kedua sebagai B. A dan B ini duduk berdua disebuah meja. Tiba-Tiba Si A ini naik ke atas meja dan menjerit,

“Akulah matahari yang menyinari alam ini”,

            Terkejutlah Si B ini melihatkan gilanya kawan dia Si A tadi. Dia terus berlari mencari Doktor dan mengadu,

            “Doktor, Si A tadi makin menjadi-jadi gilanya.”
             Doktor tadi dengan sedikit hairan bertanya, “ Kenapa dengan Si A?”
            Si B terus menjawab dengan bersemangat, “ Tadi waktu kami duduk berdua, Si A tiba-tiba naik ke atas meja dan menjerit,
            “Akulah matahari yang menyinari alam ini.”
            Doktor tadi sangka Si B ada perubahan dengan wajah yang senang hati Doktor memberi arahan, “ Suruhlah Si A turun kalau dia naik atas meja.”
            “Saya takut doctor”  Si B wajah berkerut.
            Doktor itu fikir Si A itu pesakit yang ganas atau lain-lain dia bertanya, “ kenapa takut kan kami ada.”
            “Saya takut, kalau suruh dia turun nanti alam ini gelap!”Jawab Si B perlahan.

Hahahaha…. Hahaha…. Hahaha…

Suasana yang diam tadi bertukar riuh dengan ketawa Halim dan Syukri. Mereka betul termakan dengan lawak  Razif. Kisah orang gila modal yang berguna bagi Razif pada malam ini.Dia berjaya mengiburkan hari dua orang sahabatnya yang dia telah kenal dari awal semester dan tinggal bersama dalam bilik yang disewa.Razif selalu disuruh bercerita kerana dia punya modal bacaan yang banyak berbanding Halim dan Sukri.Menjadi pencerita seperti seorang ibu bapa sudah biasa bagi Razif buat Halim dan Syukri.

“Dah la, esok ada kelas, jomlah tidur.” Razif cuba menghentikan suasana riuh.
“ Ceritalah pengajaran dulu, barulah cerita ini tak jadi kosong.” Syukri mengajukan permintaan terakhir.
“Pengajarannya, kita sentiasa kaji dan selidik setiap cerita yang kita dengar. Jangan menilai atau percaya semudahnya peribadi orang dari mulut orang lain. Apalagi kalau orang tu gila macam Si B juga” Razif cuba memberi pengajaran dengan diselit lawak.
“Haha, betullah Razif, kadang betul, kadang salah dan kadang betul yang ditambah-tambah lagi.”Syukri menambah.
“Kau tengok Halim dan tidur dah, cepat betul dia tidur, jom kita tidur” Ajak Razif sambil ketawa kecil melihat Halim yang sudah terlena.


***

           Rupanya bersahabat itu juga memerlukan cinta dan kadang ceritanya hampir seperti bercinta dengan jalan yang berbeza.Mereka bertiga tidak lepas bersama.Ingin dikata seperti belangkas, contoh ini terlalu spesifik untuk pasangan.Boleh dikatakan mereka adalah sahabat belangkas yang tidak pernah berpisah.Agak payah untuk melihat mereka disuatu tempat tanpa lengkap bertiga.Ke kelas, masjid, pasar raya, bersukan, dan makan juga sekali. Mudahnya, mereka akan pastikan mereka duduk bertiga sepanjang masa.

            “ Aku tengok kau hebatlah bentang dekat depan. Macam pemimpin politik dah.Ayat-ayatnya bombastik” Halim memuji Razif.
“Sebenarnya aku berdebar-debar tetapi aku kawal buat macam tenang.haha” Razif cuba menafikan pujian Halim.

            Razif tidak suka dipuji dan berasa pujian bukan suatu yang baik.Berbeza Halim yang menganggap pujian itu suatu ganjaran atas setiap usaha atau kelebihan yang kita miliki. Syukri juga tahu akan tentang fikiran Halim ini dan kesan kontra yang akan ada disebalik fikiran sepertinya. Namun persahabatan yang sempurna sentiasa melupakan kekurangan sahabatnya dengan rendah hati.

            Ada juga Syukri terpaksa mendengar Halim bercerita buruk tentang  Razif dan Razif sendiri pernah terdengar. Suasana yang kaku itu dilupakan oleh Razif dengan rasa kecintaan yang lebih dari sahabat iaitu persaudaraan sesama Islam. Razif tahu Halim cuma meluahkan apa yang terbuku di hati dia, apa yang Halim ceritakan itu benar dan dirinya yang salah. Apabila memikirkan kebaikan Halim, Razif bahkan Syukri memeluk erat persahabatan yang telah mereka jalin.

            Halim seorang yang baik, kata-kataya menyenangkan orang lain, dia bersemangat untuk membantu orang lain dan cukup diketahui sebagai mahasiswa yang menjaga etika dan sahsiah diri. Maka tidak hairan apabila keputusannya paling tinggi diantara Razif dan Syukri, serta mungkin bakal tertinggi di Kampus yang mereka belajar.Dia bercita-cita tinggi untuk menjadi pemimpin atau seseorang yang dikenali di negara satu hari nanti.

            Ini boleh terlihat dari sikapnya sering kehadapan dalam setiap acara di kampus, kelas dan aktiviti lain. Dia berusaha untuk tampil ke hadapan sehingga dia menggangap itu sebagai satu perlawanan yang dia harus menangi.Razif dan Syukri sebagai sahabat satu bilik sewa, mereka berdua menyokong Halim dibelakang. Tidak peduli walau ada yang memandang Halim sebagai seorang  yang ‘Gila Kuasa’ atau ‘Kaki Mikrofon”.

Halim berkongsi hasratnya untuk bertanding sebagai calon ‘Presiden’ untuk pemilihan kampus mereka nanti.Dia menganggap itu adalah langkah awal sebelum dia mencapai mimpi dia yang sebenarnya untuk menjadi pemimpin.

            “Kau dan Syukri jangan lupa sokong aku ya, aku nak bertanding sebagai calon presiden nanti.”
            “Hebat, kau jangan risau kami akan promosikan nama kau dimana-mana, facebook, twitter dan semua jenis media social yang ada. Haha.” Syukri menghidupkan suasana

            Razif juga memberi semangat, “Peluang kau cerah, siapa yang tak kenal kau, sebut Halim pasti semua tahu, mahasiswa berbakat besar.”
            “Haha..terima kasih, tapi aku kena pandai juga main politik, sama macam politik betul-betul. Kena ada retorik, fartamogana atau dalil agama sikit-sikit.” Jelas Halim.

            Razif dan Syukri sudah jelas dengan sikap Halim, mereka hanya mendiamkan diri dan membenarkan kata-kata yang keluar dari mulut Halim. Razif dan Syukri tidak berstuju dengan cara yang disebut Halim. Retorik, Janji fatamorgana dan dalil-dalil untuk kepentingan peribadi bukanlah lambang seorang yang ingin menjadi pemimpin yang baik.Cara seperti itu hanyalah pendustaan atas dalil agama dan janji palsu yang akan menyia-nyiakan kepercayaan mereka yang memilih kita.

Halim tidak memikirkan seperti itu.Dikelabui oleh jawatan dan rasa benar sendiri membuatkan Halim sehingga melupakan maksud memimpin.Dikepala Halim hanya ada kemestian untuk mendapatkan jawatan dan melaksankan agenda-agenda Islam yang telah dia fikirkan.Kononnya, agaenda-agenda Islam itu suatu yang mesti sebagai mahasiswa yang beragama Islam.

Selama berlangsung hari berkempen, Halim memberi ucapan dengan semangat, dijual segala dalil-dalil yang boleh menaikan namanya. Teman-Teman berkopiah sepertinya, muslimah dan mahasiswa lain terpukau oleh tawarannya. Cara dia mendatangkan hujah dan membuka kelemahan lawan melebihi seperti apa yang dirancang. Peribadi lawan yang seharusnya tidak disebut-disebut tetapi dijadikan modal bagi Halim tanpa rasa bersalah.

Ruang untuk menunjukan idea dan kejelasan matlamat pimpinannya telah dikemudiankan.Yang penting bagi Halim adalah menarik seramai mungkin untuk memilih dia. Razif yang melihat Halim terlalu berlebihan dalam mengkritik teman yang turut bertanding untuk calon ‘Presiden’.

Kata-Kata Halim terlalu merendahkan peribadi, menggunakan dalil untuk menghalalkannya.Membanggakan diri dengan kebaikan sehingga dapat dirasakan maksud keikhlasan sepertinya pudar.

Razif dan Syukri duduk berdua dan berfikir cara untuk menyampaikan pesanan dengan bahasa yang paling lembut. Mereka tahu Halim tidaklah seburuk seperti yang berlaku. Mungkin perubahan ini kerana impian dan mungkin prinsip yang didokong pula oleh teman-temannya yang sama seperti Halim. Berasa tidak sendiri dan punya kumpulan membuatkan Halim berasa dijalan kebenaran. Menghakimi peribadi yang lain tidak menjadikan itu satu kesalahan kerana dia masih punya teman-teman disisinya.

Razif berkata kepada Halim, “Halim, kalau boleh tidak perlu menggunakan dalil yang sewenangnya untuk menarik perhatian, tunjukan lah kemampuan dan matlamat pimpinan kau, dan tak perlulah membuka aib peribadi lawan yang tidak ada kaitan, itukan tidak baik.”

Halim bangun dan meninggalkan Razif dengan wajah tidak suka dengan nasihat yang diberikan.Razif tahu Halim berasa Razif tidak layak memberikan nasihat.Dia cuma mahasiswa biasa yang tidak mengerti apa-apa dengan makna tarbiyah atau usrah.

Sebenarnya Razif tidak mahu mencampuri dan berani-berani untuk menasihatkan Halim yang lebih ‘Alim’ dari dirinya. Kata-Kata itu sekadar supaya Halim tidak termasuk dalam kebisaan mahasiswa lain dan sebelumnya yang cenderung melabel serta membuat kelompok tertentu dalam kalangan mahasiswa. Razif dan Syukri bimbang nanti persahabatan mereka juga akan terganggu.


***


            Hari untuk mengundi calon ‘Presiden’ tiba, hari yang dinantikan oleh Halim sebagai jalan untuk dia mencapai mimpiya dan jalan untuk menyebarkan dakwah kepada mahasiswa melalui jawatan ‘Presiden’.

            Pengumuman jumlah undian diadakan selepas magrib,ternyata Halim berjaya mendapat jawatan ‘Presiden’. Halim gembira dan bergitulah teman-teman yang bersama dengannya.Mereka berjaya mengekalkan keberadaan mereka dalam pimpinan Insitut yang tidak layak diwakili oleh selain yang sefaham dan dianggap sebaik mereka.

Kegembiraan itu tidak menjadi kegembiraan Razif dan Syukri. Mereka berdua tahu akan ada jarak antara mereka dan Halim. Masa untuk bertiga seperti dulu juga akan mustahil. Halim pasti akan sibuk dengan teman-teman pimpinanya. Menguruskan acara dan hadir diprogam-progam kampus.

Setelah hampir lewat seminggu Halim menerima calon ‘Presiden’, Halim membuat keputusan untuk keluar dari tinggal bersama Syukri dan Razif. Dia memberi alasan terlalu sibuk dengan amanah yang diberikan. Dia memohon maaf kerana terpaksa keluar dan perlu duduk bersama teman pimpinan yang lain.

Bagi Razif dan Syukri, mereka hanya mampu memberikan sokongan yang terbaik. Sekiranya Halim berasa itu sebagai jalan untuk dia mencapai mimpinya, maka mereka akan turut bergembira. Kalau bukan sekarang pasti suatu hari nanti, mereka tetap akan berpisah juga. Walaupun mereka tidak lagi tinggal sebilik, mereka masih boleh bertemu dengan Halim di kampus.

“Nampaknya tinggal aku yang nak dengar cerita dari kau razif” Kata Syukri sambil baring menelentang menghadap siling menanti tidur.
“Haha, Ya, tinggal kau lah yang nak dengar cerita aku.”Razif yang sudah hampir terlelap ketawa mendengar keluhan Syukri.
            Razif melanjutkan lagi, “Malam ini aku nak cerita tentang ‘Tiga Sahabat dan Impian’, kau nak dengar tak?”
            “Haha, tak naklah, aku nak tidur.”Syukri menolak dengan ketawa kerana tahu maksud Razif.

Hari ini bersama penuh kemesraan
Esok mungkin seperti orang asing yang tidak pernah berkenalan
Dulu pernah saling memuji dan menyebut-nyebut kelebihan
Akan datang semuanya hilang dan dilupakan
Masa itu tidak sekadar merubah waktu, hari atau bulan
Masa juga berkuasa mengubah perasan, keadaan dan bahkan kehidupan
Hebat sekali peranan kamu wahai masa yang diam tanpa sepatah perkataan!.